Bina Upaya Dalaman, Jangan Bergantung Kepada Teknologi Asing

PUTRAJAYA: Malaysia perlu keluar daripada zon selesa dengan tidak terus bergantung kepada teknologi asing.

Sebaliknya membina keupayaan sendiri dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menekankan bahawa hanya dengan membina kekuatan dalaman, keselamatan maklumat terperingkat dan aset strategik negara dapat dilindungi sepenuhnya.

“Negara tidak boleh terus bergantung kepada teknologi asing, sebaliknya mesti membina keupayaan sendiri termasuk melalui pembangunan pengkomputeran awan berdaulat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2025 di sini, Khamis lalu.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan terus memperkukuh benteng siber negara melalui perlindungan infrastruktur kritikal, peningkatan kesedaran awam serta kerjasama erat antara agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan antarabangsa.

Beliau turut mengumumkan bahawa Rang Undang-Undang Jenayah Siber akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerangka perundangan negara menghadapi ancaman digital.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan pembangunan teknologi kriptografi pasca-kuantum (PQC) bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), penyelidik dan industri akan diberi penekanan bagi memastikan perlindungan infrastruktur kritikal berada di tahap terbaik.

“Usaha ini diyakini dapat membendung jenayah siber dan menjamin kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Anda Mungkin Berminat