PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembinaan rumah ibadat termasuk kuil, boleh dilakukan sebanyak mana pun, namun ia mesti dilaksanakan mengikut lunas undang-undang yang sah.
Dalam ucapannya pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri di Auditorium Setia Perkasa 8, Putrajaya, Anwar berkata, kebebasan beragama di Malaysia tetap terjamin tetapi perlu berlandaskan peraturan.
“Macam seperti isu kuil-kuil Hindu, sembahyanglah banyak mana pun, buatlah kuil banyak mana pun, tapi ikutlah peraturan.
“Tak boleh pacak kuil atau berhala di mana-mana tempat sahaja. Tak boleh dan wajar ikut seperti mana peraturan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa isu rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran tidak wajar dijadikan tumpuan kerana ia boleh mencetuskan ketidakharmonian kaum dan memesongkan perhatian negara daripada isu yang lebih mendesak.
“Jadi saya harap perkara ini seharusnya kita selesaikan dengan baik.
“Kalau kita terus begini negara takkan pernah aman. Tak boleh tumpu terhadap soal pembangunan negara,” katanya.
Anwar turut menekankan bahawa prinsip undang-undang mesti dihormati oleh semua pihak tanpa mengira agama.
Beliau memberi contoh bahawa surau juga pernah dirobohkan di Perak kerana tidak mengikut peraturan.
“Ada yang jawab kata, tapi surau di mana boleh buat-buat. Tapi saya tahu dalam sejarah kita, surau di Perak pernah dirobohkan sebab tak mengikut peraturan,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan MADANI memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertindak terhadap rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.
Walaupun keputusan itu dijangka mengundang kontroversi, Anwar menegaskan bahawa Malaysia ialah sebuah negara hukum.








