KUALA LUMPUR: Malam tadi, sebuah insiden kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar blok asrama lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, Jalan Ayer Jerneh.
Walau bagaimanapun, pihak sekolah dapat menarik nafas lega apabila kesemua 91 pelajar yang menghuni asrama tersebut berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.
Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba II (TPgB II), Japari Tajuddin berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada pukul 8.43 malam dan tiba di lokasi hanya dalam masa empat minit.
“Setibanya kami di lokasi, asrama pelajar lelaki di tingkat satu, yang berkeluasan 20 kali 100 kaki persegi sedang marak terbakar dengan kemusnahan dianggarkan sekitar 80 peratus.
“Tiada mangsa terlibat dan semasa kejadian, semua pelajar berada di surau,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba berjaya mengawal situasi dengan cekap dan api dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 9.40 malam.
Operasi menyelamat melibatkan 40 anggota bersama lapan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak dengan bantuan BBP Sentul, BBP Jalan Hang Tuah dan BBP Gombak Selatan.
Sehingga kini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).