Blok baharu di Hospital Miri, Sarawak dijangka akan mula beroperasi pada Jun 2024 yang dapat meningkatkan infrstruktur kesihatan di negeri berkenaan.
Ia juga menandakan suatu kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan apabila wujudnya pelbagai fasiliti kesihatan yang boleh memberi manfaat buat rakyat di sana.
Ini kerana penyediaan bangunan tambahan serta siap dalam tempoh masa yang ditetapkan sangat penting bagi memberikan perkhidmatan perawatan yang terbaik kepada masyarakat setempat selain dapat membantu kesesakan di Hospital Miri yang sedia ada.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni turut mengambil peluang untuk mengadakan lawatan ke bangunan tambahan hospital berkenaan yang setinggi 7 tingkat pada Khamis.
Dalam lawatan tersebut, Lukanisman mendengar taklimat mengenai perkhidmatan kesihatan yang bakal disediakan di bangunan tambahan tersebut yang dsampaikan oleh Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Miri, Dr Francis Heng Eng Khai.
Bangunan tersebut turut menambah beberapa fasiliti sedia ada seperti penyediaan sebanyak 328 katil, 5 klinik pakar serta 900 lot parkir kereta.
“Bangunan tambahan tersebut juga meletakkan beberapa fasiliti kesihatan termasuk Pusat Pemantauan (Central Monitoring System), Jabatan Kecemasan dan Trauma, Klinik Pakar Pediatrik, Klinik Pakar Obstetrik dan Gonekologi, Unit Pendidikan dan Latihan, Jabatan Patologi.
“Ini termasuk Unit Rawatan Harian, Dewan Bedah Materniti, Wad Pediatrik, Sekolah dalam hospital, Wad kelas pertama dan Farmasi Pesakit Luar,” kata kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Turut hadir dalam lawatan tersebut, Jurutera Mekanikal Penguasa Kanan, Abduldan Adtong; Jurutera Mekanikal Penguasa Kanan, Sidek Rashid; Timbalan Pengarah (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Azlee Ayub; Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong Siew Yu dan Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Miri, James Harry Sulau.
Baca juga: