BMI Kurang 27 Jadi Syarat Kenaikan Pangkat SPRM Bermula 2026

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menetapkan syarat baharu bagi kenaikan pangkat bermula Januari 2026, iaitu semua pegawai dan anggota wajib mengekalkan Indeks Jisim Badan (BMI) tidak melebihi 27.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menyifatkan langkah itu sebagai usaha menyeluruh memperkukuh disiplin kendiri dan menangani isu obesiti dalam kalangan penjawat awam.

“Bermula tahun hadapan, pegawai SPRM yang mempunyai BMI melebihi 27 tidak akan dipertimbangkan untuk sebarang kenaikan pangkat.

“Tempoh enam bulan diberikan mulai Januari 2026 untuk mencapai berat badan ideal,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Persaraan: Bakti Disanjung, Budi Dijunjung bagi menghargai perkhidmatan Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain yang bersara wajib mulai semalam.

Dalam majlis itu, Azam Baki turut mengumumkan kenaikan Rosli ke Gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA C) sebagai pengiktirafan terhadap khidmat cemerlang beliau sepanjang 32 tahun berkhidmat di sektor awam khususnya SPRM.

“Peningkatan ke gred JUSA C adalah satu bentuk penghargaan atas sumbangan beliau yang signifikan dalam memperkukuh tadbir urus dan integriti di peringkat negeri,” katanya.

Dalam ucapannya, Rosli menzahirkan rasa syukur atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang perkhidmatannya, sambil menyeru warga SPRM supaya terus menjunjung prinsip integriti dan profesionalisme.

“Saya berbangga dapat menamatkan khidmat dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Bagi saya, integriti bukan sekadar dasar organisasi tetapi pegangan hidup yang mesti dipertahankan,” katanya.

Azam Baki juga menggesa agar semua pejabat negeri dan bahagian di ibu pejabat melaksanakan pemeriksaan kesihatan berkala setiap tiga bulan di hospital kerajaan bagi memantau tahap kesihatan pegawai secara berterusan.

Majlis turut menyaksikan sesi serah tugas rasmi kepada Azmin Yusoff, yang akan mengambil alih jawatan Pengarah SPRM Kelantan bermula Ahad ini serta acara simbolik ‘clock out’ sebagai tanda tamatnya perkhidmatan Rosli.

Antara yang hadir termasuk Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; isteri Rosli merangkap Pengerusi PUSPANITA SPRM Kelantan, Norizan Othman serta barisan pengarah kanan dari ibu pejabat dan negeri.

Anda Mungkin Berminat