KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) dilaporkan mendahului persaingan di Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berdasarkan keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sedang berlangsung.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook memaklumkan calon UMNO, Naim Kurniawan Moktar, dikatakan memperoleh 4,815 undi di Parlimen Kinabatangan, sekali gus mendahului pencabarnya Datuk Saddi Abdul Rahman daripada Warisan dan calon Bebas, Goldam Hamid, dengan kelebihan 4,777 undi.
Bagi PRK DUN Lamag pula, calon BN, Ismail Ayob, dilaporkan berada di hadapan calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek, dengan perbezaan sebanyak 538 undi.
PRK kali ini melibatkan seramai 48,722 pengundi berdaftar, terdiri daripada 48,526 pengundi biasa serta 196 anggota polis dan pasangan yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.
Sehingga jam 3 petang, peratusan keluar mengundi dilaporkan mencecah 50.37 peratus bagi Parlimen Kinabatangan, manakala DUN Lamag mencatatkan 55.16 peratus.
Kesemua pusat mengundi ditutup sepenuhnya pada jam 5.30 petang tadi.
Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag sebelum ini disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang berkhidmat selama enam penggal berturut-turut sebelum meninggal dunia pada Disember 2025.
Sementara itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perikatan Nasional (PN) tidak bertanding dalam PRK berkenaan sebagai tanda menghormati legasi Allahyarham Bung Moktar.
Baca juga:








