PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) menambah empat lagi calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November, selepas sebelum ini mengumumkan 41 calon.
Empat calon baharu itu ialah Willey Lampaki (DUN Bandau), Rahmah Sulaiman (Kemabong), Chin Kim Hiung (Karamunting) dan Chaya Sulaiman (Kukusan).
Penamaan Chin Kim Hiung di Karamunting dijangka menyaksikan pertembungan dengan PKR, yang menamakan George Hiew sebagai calon. Hiew sebelum ini mewakili Warisan dan pernah bersama DAP sebelum menyertai Gagasan Rakyat pada 2023.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata penambahan kerusi ini selaras aspirasi gabungan untuk memastikan representasi lebih menyeluruh dan strategik mengikut keperluan rakyat serta dinamika politik negeri.
“Jentera parti di semua peringkat diminta menggiatkan persiapan dan melaksanakan gerak kerja secara tersusun, inklusif dan berfokus demi memastikan kemenangan dan mandat rakyat kembali kepada BN,” memetik daripada FMT.
Bung berkata barisan calon baharu dijangka membawa kepimpinan lebih segar dan menyeluruh, selain memperkukuh kestabilan dan pembangunan inklusif di Sabah.
Dalam pengumuman terdahulu, BN menamakan beberapa calon terkenal termasuk Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (Sook), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (Tempasuk), Datuk Seri Salleh Said Keruak (Usukan) dan Datuk Yakubah Khan (Karambunai). Bung sendiri akan mempertahankan kerusi Lamag yang diwakilinya sejak 2020.
PRN Sabah ke-17 bakal menyaksikan 1.78 juta pengundi berdaftar membuat pilihan pada 29 November. Penamaan calon dijadualkan pada 15 November.
Baca juga:








