PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan, inflasi stabil dan prospek pertumbuhan positif.
BNM berkata, ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada separuh pertama 2025 dan kekal dalam unjuran 4 hingga 4.8 peratus untuk keseluruhan tahun.
Pertumbuhan dijangka berterusan hingga 2026, dipacu perbelanjaan isi rumah, kenaikan gaji serta pelaburan sektor swasta dan awam.
“Penggajian, pertumbuhan gaji dan dasar pendapatan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
“Pelaburan pula didorong oleh projek berbilang tahun, realisasi pelaburan diluluskan dan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk negara serta RMK-13,” kata BNM dalam kenyataan.
BNM berkata, daripada segi luaran, bank pusat mengingatkan risiko masih wujud susulan ketegangan geopolitik dan potensi kenaikan tarif, walaupun perbelanjaan pengguna global dan rundingan perdagangan yang lebih baik memberi sedikit sokongan.
BNM menambah, hasil positif daripada dasar pro-pertumbuhan ekonomi utama, permintaan kukuh terhadap barangan elektrik dan elektronik serta sektor pelancongan berpotensi meningkatkan eksport Malaysia.
Tekanan inflasi pula kekal terkawal, dengan inflasi utama purata 1.4 peratus dan inflasi teras 1.9 peratus dalam tujuh bulan pertama 2025. Inflasi dijangka sederhana hingga 2026 berikutan harga komoditi global yang reda.
“Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat pendirian dasar monetari kekal sesuai dan menyokong pertumbuhan ekonomi di tengah kestabilan harga,” katanya.








