BNM Turun OPR Kepada 2.75 Peratus, Langkah Pertama Sejak Mei 2023

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM), melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), mengambil langkah bersejarah dengan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, berkuat kuasa serta-merta.

Ini merupakan penurunan pertama sejak Mei 2023, selepas kadar dikekalkan dalam 13 mesyuarat berturut-turut.

Penyesuaian ini turut melibatkan perubahan pada koridor OPR iaitu kadar siling diturunkan kepada 3.00 peratus, manakala kadar lantai kepada 2.50 peratus.

Menurut BNM, langkah ini diambil selaras dengan perubahan dinamik ekonomi global dan domestik yang memerlukan pelarasan dasar monetari.

“Pertumbuhan pekerjaan dan upah khususnya dalam sektor yang berorientasikan domestik serta langkah dasar berkaitan pendapatan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah,” tambah BNM dalam kenyataannya.

BNM menjelaskan bahawa prospek ekonomi global kekal positif, disokong oleh perbelanjaan pengguna, dasar monetari longgar dan rangsangan fiskal.

Namun, BNM berkata, ketidaktentuan berkaitan tarif dan ketegangan geopolitik masih membayangi, berpotensi mendorong turun naik dalam pasaran kewangan serta harga komoditi.

Di peringkat domestik, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua 2025 kekal memberangsangkan, dipacu oleh permintaan dalam negeri yang kukuh dan peningkatan eksport.

Selain itu, BNM berkata, pelaburan terus berkembang melalui projek multi-tahun sektor awam dan swasta serta pelaksanaan pelan pemangkin di bawah agenda nasional.

Anda Mungkin Berminat