KUALA LUMPUR: Sejurus tiba dari Terengganu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Makan Malam Gala Jubli Emas Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur bagi menzahirkan komitmen penuh terhadap pemerkasaan bola sepak tempatan.
“Ia tidak sekadar memenuhi undangan, tetapi sebagai isyarat jelas bahawa bola sepak sebagai sukan rakyat wajar diangkat martabatnya ke tahap lebih membanggakan,” ujar beliau, menyeru agar bola sepak dihargai bukan hanya sebagai hiburan tetapi sebagai wahana perpaduan nasional.
Beliau berkata, bola sepak bukan sekadar permainan biasa.
“Ia adalah medium perpaduan yang ampuh merentas kaum, agama dan latar belakang,” namun menambah bahawa budaya luar seperti ‘hooliganism’ tidak harus dinormalisasi.
“Budaya sukan harus segar, sihat dan sarat nilai murni,” katanya lagi.
Dalam usaha menyokong pembangunan bola sepak dari peringkat akar umbi, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 juta.
Kata Anwar, inisiatif itu turut melibatkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkasa bakat sejak usia muda.
Prasarana katanya, akan dipertingkatkan dan akademi bola sepak bakal ditambah baik, dengan pihak berkuasa tempatan digesa memainkan peranan aktif.
“Saya hargai semangat kepimpinan Persatuan serta penaungnya dalam memartabatkan bola sepak tanah air,” tambah Perdana Menteri.
“Kita angkat bola sepak bukan kerana sukan yang glamor tetapi kerana nilainya yang menyatukan rakyat dan mengharumkan nama negara,” katanya.








