JASIN: Suasana di tapak Projek Golden Valley, Kampung Air Panas, Bemban, bertukar cemas apabila sebutir bom udara dipercayai peninggalan era Perang Dunia Kedua ditemui masih aktif, petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 3 petang daripada seorang pekerja berusia 52 tahun yang menemui objek mencurigakan ketika kerja pengorekan tanah dijalankan.
Hasil pemeriksaan Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin kemudian mengesahkan objek tersebut ialah bom jenis Aerial Bomb seberat 500 paun atau 227 kilogram.
“Pemeriksaan mendapati bom yang sudah berkarat itu masih aktif dengan ukuran lilit antara 27 hingga 36 sentimeter serta panjang kira-kira 45 inci (114.3 sentimeter),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bom berusia kira-kira 80 tahun itu dijadualkan untuk dimusnahkan sekitar pukul 8 pagi tadi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan orang awam dan kawasan sekitar.
Dalam pada itu, Lee turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta mengganggu ketenteraman masyarakat.
Untuk info, penemuan bom lama di daerah Jasin bukanlah sesuatu yang asing.
Melaka pernah berada di bawah pendudukan tentera Jepun antara tahun 1942 hingga 1945 semasa Perang Dunia Kedua.
Kawasan luar bandar dan laluan logistik ketika itu menjadi sasaran serangan udara, menyebabkan sebahagian bom yang dijatuhkan gagal meletup dan tertanam di dalam tanah.








