Bonus RM2,000 kepada penjawat awam di Terengganu

Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM2,000 kepada lebih 14,457 penjawat awam negeri tahun ini.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, berkata, pembayaran bonus kepada penjawat awam membabitkan peruntukan kira-kira RM28.9 juta itu akan dilakukan selaras seperti disarankan kerajaan pusat.

Katanya, pembayaran bonus sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam di Terengganu akan dilakukan bermula Mac depan.

“Kita sedar ramai yang tertunggu-tunggu pengumuman bonus. Kita sudah membuat ketetapan seperti saranan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa pemberian bonus itu adalah urusan pentadbiran.

“Jika ikut pentadbiran, kita akur dengan saranan kerajaan persekutuan iaitu RM2,000 setiap penjawat awam, kita sudah membuat ketetapan pembayaran akan dilakukan Mac depan seperti pekeliling kerajaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman ketika membentangkan Belanjawan 2024 tidak mengumumkan pemberian bonus kepada penjawat awam.

Difahamkan, punca utama Ahmad Samsuri tidak mengumumkan pemberian bonus ketika membentangkan Belanjawan 2024 disebabkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat