BAF 2025 Catat 35,000 Pengunjung, Bukti Potensi Pelancongan Labuan Terus Meningkat

LABUAN: Labuan terus menyerlah sebagai destinasi seni dan budaya apabila Borneo Arts Festival 2025 (BAF2025) mencatat kehadiran 35,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran, melepasi sasaran awal sebanyak 30,000 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, peningkatan jumlah pengunjung itu membuktikan minat yang semakin kukuh terhadap tawaran seni, budaya dan acara komuniti di pulau berkenaan.

“Alhamdulillah, seramai 35,000 pengunjung direkodkan, melepasi sasaran awal 30,000 pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Zaliha yang menghadiri majlis penutupan BAF2025, disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan festival tersebut.

Beliau berkata, kejayaan festival bukan sahaja pada jumlah pengunjung tetapi juga pada kesan langsung terhadap ekonomi tempatan.

“Ini membuktikan potensi ekonomi jingga seperti ini dapat dirasai secara terus oleh rakyat terbanyak,” katanya.

Menurut Dr Zaliha, kejayaan BAF2025 memberi isyarat jelas bahawa sektor pelancongan kreatif mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat, selain memperkukuh kedudukan Labuan sebagai destinasi seni dan budaya rantau Borneo.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memajukan Labuan di bawah inisiatif Pesona3W: 3 Cerita 1 Jiwa, yang menekankan pengalaman unik serta nilai tambah kepada rakyat dan pengunjung.

BAF2025 menghimpunkan penggiat seni dari seluruh Borneo dengan persembahan muzik, tarian budaya, pameran kreatif dan aktiviti komuniti yang berjaya meningkatkan trafik pelancongan ke Labuan.

Festival ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh ekosistem pelancongan seni, selaras dengan agenda Pesona3W yang menekankan promosi wilayah, warisan dan pengalaman budaya sebagai nadi pembangunan Labuan.

Anda Mungkin Berminat