LANGKAWI: Tragedi menyayat hati berlaku di perairan Langkawi apabila sebuah bot dipercayai membawa kira-kira 300 imigran dari Myanmar karam berhampiran Pulau Tarutao, di sempadan perairan Thailand–Malaysia.
Sehingga kini, seorang disahkan maut manakala ramai lagi masih hilang.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis mengesahkan penemuan beberapa mangsa yang hanyut di perairan Langkawi sejak semalam (Sabtu).
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, tiga individu iaitu dua lelaki dan seorang wanita disyaki imigran Myanmar ditemui hanyut di perairan Tanjung Chincin.
“Mereka telah diselamatkan oleh kapal MV Hong Linh 1 pada pukul 8.30 pagi sebelum dibawa ke Jeti Kilang Simen Teluk Ewa dan diserahkan kepada Balai Polis Ayer Hangat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang digerakkan segera selepas itu menemukan lebih banyak petunjuk.
“Pada pukul 2.05 petang, aset PETIR 81 milik Maritim Malaysia menemukan mayat seorang wanita terapung di laut.
“Mayat tersebut dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Langkawi sebelum diserahkan kepada Polis Kuala Teriang.
“Tidak lama kemudian, aset sama mengesan seorang lelaki warga Bangladesh di atas Kapal Layar APHRODITE.
“Mangsa berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada IPD Kuah, Langkawi,” katanya.
Dalam operasi berasingan beliau berkata, aset BENTENG 7 menemui seorang wanita disyaki imigran Myanmar di atas sebuah vesel nelayan tempatan.
Beliau turut dibawa ke Jeti Maritim Malaysia dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Pada pukul 11.45 malam, Bot PETIR 81 mengiringi Kapal Layar ADVENTURE yang menemui empat lelaki Myanmar.
“Mereka dibawa ke Jeti Telaga Harbour dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Seorang lagi mangsa turut dijumpai terdampar di kawasan Kelab Golf Datai oleh seorang pengawal keselamatan sebelum diserahkan kepada IPD Kuah.
“Setakat ini, 11 mangsa telah ditemui termasuk satu mayat,” katanya lagi.
Romli tidak menolak kemungkinan lebih ramai mangsa masih berada di laut berdasarkan maklumat risikan awal bahawa bot berkenaan berlepas dari Buthidaung, Myanmar, tiga hari lalu.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia bukan transit bagi sebarang cubaan kemasukan tidak sah ke negara ini.
“Setiap cubaan untuk memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran akan dikesan dan diambil tindakan tegas.
“Isu ini bukan sekadar kemanusiaan tetapi turut melibatkan keselamatan negara,” tegasnya.
Romli turut mendedahkan bahawa sindiket rentas sempadan kini semakin aktif mengeksploitasi migran sebagai mangsa perdagangan manusia, menggunakan laluan laut yang berisiko tinggi.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia.
“Semua yang terlibat akan diambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia kini sedang melaksanakan Operasi Guard 5.0, iaitu operasi bersepadu bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memperketat kawalan sempadan perairan Malaysia–Thailand khususnya menjelang hujung tahun yang sering menyaksikan peningkatan cubaan kemasukan PATI dari Myanmar.
Dalam pada itu, Romli turut menyeru komuniti maritim seperti nelayan dan pengusaha bot pelancongan agar segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di laut.
“Orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di 04-966 2750 / 04-966 5307 untuk maklumbalas segera,” katanya.








