LANGKAWI: Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang diteruskan hari ini susulan insiden bot dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di perairan sempadan Malaysia–Thailand, menemukan sembilan mangsa setakat pukul 7.00 petang semalam (Ahad).
Menurut Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, daripada sembilan mangsa yang ditemui di sekitar perairan Langkawi, tiga daripadanya masih hidup manakala enam lagi disahkan meninggal dunia.
Pada pukul 3.11 petang, Maritim Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi menerima panggilan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKK) Kuala Muda yang memaklumkan terlihat dua lelaki terapung di kawasan tuas Kuala Muda Teriang.
Kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan.
Bot PERKASA 26 kemudiannya diatur gerak ke lokasi bagi membawa mangsa ke Jeti Maritim Malaysia Langkawi sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuah untuk siasatan lanjut.
“Pada pukul 5.00 petang Bot PETIR 81 menemukan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang terapung di laut dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Langkawi sebelum diserahkan kepada Polis Kuala Teriang,” jelas Romli.
Selang sejam kemudian, bot DOF 2511 melaporkan penemuan mayat seorang lelaki yang turut terapung di laut.
Mangsa dibawa ke Jeti Perikanan Langkawi untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“30 minit kemudian, bot DOF 2511 turut menemui mayat seorang wanita terapung di laut dan seterusnya dibawa ke jeti Perikanan Langkawi untuk tindakan lanjut,” tambah beliau.
Di lokasi berasingan, kapal KM SIANGIN memaklumkan telah menemui empat lagi mayat wanita.
Bot BENTENG 7 kemudiannya mengambil kesemua mayat dan membawanya ke Jeti Kilang Semen Teluk Ewa untuk diserahkan kepada pihak polis.
Setakat ini, sektor pencarian telah diperluaskan meliputi kawasan seluas 170 batu nautika persegi.
Sebuah Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) turut ditubuhkan di Pejabat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis bagi menyelaras operasi.
Orang ramai, khususnya komuniti maritim seperti nelayan dan pengusaha bot pelancongan, diminta segera melaporkan sebarang petunjuk atau penemuan mangsa kepada pihak Maritim Malaysia dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di 04-966 2750.
Operasi CARILAMAT ditangguhkan pada pukul 7.00 petang dan akan disambung semula hari ini.
Terdahulu, operasi ini dilancarkan susulan insiden salah satu daripada tiga bot yang membawa kira-kira 300 penumpang imigran karam di perairan berhampiran Pulau Tarutao, sebelum sempadan Thailand–Malaysia.








