Bot Terbalik Di Felda Nitar: Seorang Maut, Dua Selamat

MERSING: Sebuah tragedi lemas dilaporkan berlaku di Sungai Loji Air Felda Nitar 2, Mersing apabila sebuah bot yang digunakan untuk aktiviti memancing terbalik, menyebabkan seorang mangsa maut manakala dua lagi berjaya menyelamatkan diri.

Panggilan kecemasan diterima pada pukul 5.43 petang dan pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 28 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing pada pukul 6.07 petang.

Operasi tamat pada pukul 1.57 pagi selepas usaha pencarian intensif dijalankan.

Komander Operasi, PBK I Anuar Hussine bersama Komander Operasi Kanan, PPgB Abdul Muiz Mukhtar mengesahkan kejadian melibatkan tiga lelaki dewasa.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat kejadian lemas di Sungai Loji Air Felda Nitar Mersing melibatkan sebuah bot yang terbalik semasa aktiviti memancing.

“Di mana seorang lelaki dewasa berumur 36 tahun iaitu Mohammad Putera Rizzurin Md Nor dilaporkan hilang dibawa arus, manakala dua orang lelaki dewasa iaitu Muhammad Zul Hafeez Azman Adi dan Mohamad Shahrul Izwan Sabarudin telah berjaya menyelamatkan diri dan dalam keadaan selamat,” katanya.

Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) yang terdiri daripada lima anggota BBP Kluang dan tiga anggota BBP Mersing melaksanakan operasi pencarian menggunakan kaedah permukaan air dan selaman dengan bantuan dua penyelam PPDA.

Hasilnya, mangsa yang hilang ditemui pada pukul 12.23 tengah malam di dasar air pada kedalaman 10.8 meter, kira-kira enam meter dari lokasi bot terbalik.

Operasi turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta orang awam.

Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Mohammad Putera Rizzurin Md Nor, 36 tahun, manakala dua rakannya berusia 36 dan 29 tahun dilaporkan selamat.

Seramai 16 anggota terlibat dalam operasi dengan kekuatan jentera terdiri daripada sebuah FRT, EMRS, Navara, Hilux, lori dan sebuah bot.

Anda Mungkin Berminat