PETALING JAYA: Laporan awal siasatan kemalangan bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik pada 9 Jun lalu mendapati tiada sebarang kegagalan mekanikal pada kenderaan terbabit, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT).
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, siasatan awal yang dijalankan oleh PUSPAKOM menunjukkan sistem brek, tayar dan suspensi bas dengan nombor pendaftaran PLD 8892 berada dalam keadaan memuaskan serta mematuhi piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Semua brake lining dan brake drum berada dalam keadaan baik tanpa sebarang ketidakseragaman atau kenipisan yang boleh menyumbang kepada kemalangan. Tayar juga menunjukkan ketebalan bunga yang mematuhi piawaian. Komponen steering dan suspensi juga dalam keadaan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Loke, berdasarkan pemerhatian awal itu, tiada bukti menunjukkan berlakunya kegagalan sistem mekanikal yang menjadi punca nahas.
“Ini menunjukkan kemalangan berkemungkinan besar berpunca daripada faktor lain seperti kecuaian manusia, keadaan jalan dan sebagainya,” jelasnya.
Menurut beliau, kementerian akan mempertimbangkan langkah penambahbaikan berdasarkan hasil siasatan penuh kelak bagi memastikan keselamatan jalan raya dipertingkatkan.
“Kami ingin menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan. Penguatkuasaan terhadap piawaian keselamatan, kelayakan pemandu dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan akan terus diperketat,” tegas beliau.
Baca juga: