BRICS: Kesihatan, Iklim dan Kewangan Mampan Harus Digabung – PM

KAZAN: Pada hari terakhir Sidang Kemuncak BRICS 2025, Malaysia tampil lantang menyuarakan bahawa isu-isu global seperti kesihatan awam, keadilan iklim dan pembiayaan mampan tidak boleh ditangani secara berasingan, sebaliknya perlu didekati secara holistik dan berteraskan keadilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat suara Malaysia dalam sesi intervensi yang menyentuh pelbagai dimensi pembangunan inklusif.

Beliau dalam satu hantaran di Facebook berkata, Malaysia menyambut baik pelancaran BRICS Partnership for the Elimination of Socially Determined Diseases.

“Usaha menangani penyakit tidak akan berjaya tanpa menangani ketidaksaksamaan sosial dan kemiskinan struktural di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau turut memanggil perhatian dunia terhadap isu akses kesihatan global yang menurutnya adalah soal keselamatan antarabangsa.

“Akses saksama kepada vaksin, sistem kesihatan awam yang berdaya tahan serta kawal selia rantaian bekalan ubat global adalah isu keselamatan antarabangsa, bukan sekadar agenda kesihatan.

“Kegagalan dalam perkara ini boleh mencetuskan ketidaktentuan serantau dan mengancam pembangunan mampan sejagat,” kata Anwar.

Dalam isu perubahan iklim, katanya, Malaysia kekal komited kepada sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050 melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETP).

Namun Perdana Menteri mengingatkan bahawa komitmen tidak bermakna tanpa sumber sokongan.

“Dasar tanpa sumber tidak akan membuahkan hasil.

“Pembiayaan iklim hari ini masih jauh daripada mencukupi terutamanya bagi negara membangun yang terdedah kepada risiko iklim berganda,” katanya.

Menurut beliau lagi, Malaysia menyokong penuh Kerangka BRICS mengenai Pembiayaan Iklim dan menyeru agar deklarasi diterjemah kepada tindakan.

“Perlu pengwujudan instrumen pembiayaan yang lebih berkesan, akses saksama kepada dana konsesi dan penyelarasan yang lebih erat antara institusi kewangan serantau serta global,” katanya.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar berkata, Malaysia memacu agenda memperkukuh kesepaduan serantau dalam tindakan iklim dan memperluas akses pembiayaan hijau dengan menjadikan Asia Tenggara sebagai hab pelaburan mampan yang berdaya saing.

Menutup sesi intervensi, Anwar menyeru agar Sidang COP30 di Belém, Brazil menjadi titik perubahan sebenar.

“Keadilan iklim bukan hanya tentang niat tetapi tentang bagaimana kita mengagih modal, mengurus risiko dan memikul tanggungjawab secara kolektif.

“Masa untuk berhujah telah berakhir,” ujarnya.

Di sela-sela sidang, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin dari Indonesia, Chile, China, Kazakhstan, Rusia, UAE dan Iran bagi memantapkan lagi hubungan diplomatik Malaysia di pentas global.

Anda Mungkin Berminat