Buang dan gantung ahli, isyarat Bersatu sekat kebebasan bersuara

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad menyifatkan pergolakan terbaharu dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai satu isyarat jelas bahawa mana-mana suara yang berani bersuara akan dilenyapkan.

Menerusi kenyataan media pada Selasa, Faezuddin menyatakan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal membuktikan Bersatu tidak meraikan perbezaan pandangan yang semakin membarah dalam parti itu.

“Hari ini Bersatu bergolak lagi apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dipecat, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal digantung keahlian selama satu penggal.

“Ramai orang melihat tindakan ini sebagai tindakan politik dalaman untuk membersihkan suara yang tidak sehaluan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan terhadap enam individu itu dipercayai berkait dengan pertembungan dua blok dalaman serta usaha menyekat suara yang tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi parti.

Sebelum ini, Wan Saiful lantang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta mendakwa wujud gerakan mengumpul Surat Akuan Berkanun (SD) bagi menukar pucuk pimpinan Bersatu.

Beliau turut mendakwa memiliki maklumat dalaman berhubung hubungan beberapa pemimpin parti dengan pihak tertentu serta penerimaan dana jutaan ringgit.

Dalam pada itu, Wan Fayhsal pula mempersoalkan integriti lembaga disiplin Bersatu yang menurutnya mempunyai konflik kepentingan keluarga dalam kalangan panel yang membuat keputusan.

Faezuddin berkata, konflik pada baru-baru ini menunjukkan Bersatu berada dalam krisis dalaman yang semakin parah, dan budaya politik takut bersuara hanya akan mempercepatkan keruntuhan kepercayaan dalam kalangan ahlinya sendiri.

“Apa yang berlaku kepada Wan Saiful dan Wan Fayhsal bukan sekadar tindakan disiplin.

“Namun, ia adalah isyarat bahawa dalam Bersatu, siapa yang bersuara, pasti akan disenyapkan,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat