Budaya Buli Akan Terus Dihapus di MRSM – Asyraf Wajdi

PETALING JAYA: Budaya buli tidak akan dibiarkan berakar umbi dalam sistem pendidikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa pihaknya komited untuk menghapuskan gejala tersebut dalam apa jua bentuk.

Beliau melahirkan kekecewaan terhadap insiden buli yang masih berlaku termasuk kejadian terkini di mana seorang pelajar menjadi mangsa serangan bergilir-gilir oleh pelajar senior atas alasan dendam lama.

“Ada pelajar kena tunggu, dipanggil berkali-kali dan akhirnya ditumbuk seorang demi seorang.

“Bila ditanya kenapa? jawapannya, sebab dulu dia pernah kena juga,” katanya.

Menurut Asyraf, ini adalah cerminan kepada budaya ‘payback time’ yang merbahaya dan mesti segera dihentikan.

“Ini yang saya maksudkan sebagai budaya ‘payback time’ yang sangat berbahaya dan mesti dihentikan,” katanya.

Jelasnya, budaya buli bukan sahaja bertentangan dengan nilai pendidikan MARA, malah menyalahi prinsip akhlak dan kemanusiaan yang seharusnya menjadi asas pembentukan sahsiah pelajar.

Dalam sesi lawatan mengejut beliau ke MRSM Besut hari ini, Asyraf turut mendedahkan laporan yang menyatakan pelajar dipaksa hadir roll call seawal 4.45 pagi dan dikerah melakukan aktiviti tanpa alasan munasabah.

Malah, katanya, terdapat kes pelajar yang sakit atau lewat ke tandas turut dijadikan sasaran buli.

“Jangan jadikan pengalaman silam sebagai lesen untuk menyakiti orang lain.

“Kalau kita sendiri pernah rasa perit dibuli, kenapa sanggup ulang perkara sama kepada adik-adik kita? Ini bukan warisan. Ini kezaliman,” tegasnya.

Beliau berkata, MARA sedang melaksanakan pendekatan tegas dan menyeluruh melalui pemantauan berterusan, intervensi kaunseling serta tindakan disiplin yang berani bagi mengekang budaya buli.

“Saya nak pastikan setiap pelajar MRSM berasa selamat.

“Ibu bapa perlu yakin bahawa anak-anak mereka tidak akan dizalimi, sebaliknya dibimbing untuk menjadi insan cemerlang dalam suasana penuh kasih dan hormat,” katanya.

Asyraf turut memberi amaran bahawa tiada mana-mana pelajar, sama ada yang memegang jawatan dalam Badan Wakil Pelajar (BWP) atau tidak, akan diberi kekebalan daripada tindakan jika terbabit dalam sebarang bentuk buli.

“Saya boleh bertolak ansur dalam banyak perkara. Tapi dalam hal buli, saya tidak akan berkompromi.

“Kita mahu ‘Zero Buli’ di semua MRSM. Itu tekad saya,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat