BUDI95: ‘Ada Peluang Kerajaan Madani Perintah Semula’ – Hassan Karim

PETALING JAYA: Pelaksanaan dasar subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bukan sahaja popular, malah disifatkan sebagai langkah ekonomi yang bijak oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu, Hassan memuji pendekatan kerajaan yang berjaya mengimbangi keperluan fiskal negara dan kesejahteraan rakyat.

“RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun kerajaan dapat berjimat.

“Ini formula ekonomi yang bijak, kerajaan dapat berjimat, rakyat juga dapat berjimat, sedikit sebanyak pendapatan boleh belanja rakyat bertambah.

“Orang miskin B40 dan kelas menengah M40 gembira dan golongan kaya T20 tidak marah,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa dasar seperti BUDI95 berpotensi memperkukuh kedudukan Kerajaan Madani menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya pendekatan ekonomi yang inklusif dan tidak membebankan rakyat terus diamalkan.

“Jika ada banyak formula ekonomi seperti ini, di mana semua rakyat suka; kos sara hidup tidak menyeksa, kadar inflasi kalau naik pun berpada-pada; gaji rakyat naik tinggi selaras kenaikan produktiviti maka ada peluang Kerajaan Madani jadi kerajaan semula pada PRU16 nanti,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa sistem subsidi petrol RON95 yang disasarkan khas untuk rakyat Malaysia telah direka agar mudah diakses dan memberi manfaat secara langsung kepada penerima.

“Bagi melindungi kesejahteraan rakyat, Kerajaan Madani akan memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi sebanyak RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi iaitu sekitar RM2.60 seliter,” katanya.

Anda Mungkin Berminat