PETALING JAYA: Program subsidi minyak BUDI95 mencatat kejayaan luar biasa apabila pelancaran sepenuhnya pada Selasa berjalan lancar tanpa sebarang gangguan besar dan memberikan manfaat kepada lebih 16 juta rakyat Malaysia.
Harga petrol RON95 yang ditawarkan pada kadar subsidi RM1.99 disambut baik oleh pengguna di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, pelaksanaan program ini sebagai satu kejayaan yang jarang berlaku dalam sejarah pelaksanaan dasar kerajaan.
“Semalam (Selasa) 16 juta rakyat Malaysia mendapat manfaat subsidi minyak BUDI95 dengan harga RM1.99.
“Lebih istimewa, semua berjalan lancar tanpa beratur panjang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.
Menurut beliau, para wakil rakyat sebelum ini amat risau akan kemungkinan berlakunya gangguan teknikal dan kesesakan di stesen minyak yang berpotensi menjadi senjata politik pembangkang.
“Sebelum itu, kami wakil rakyat amat risau. Kerana jarang-jarang Program Kerajaan dilaksanakan tanpa ‘hiccup’. Kami jangka ‘server down’. Kami jangka berbaris panjang di stesen minyak.
“Oleh sebab itu, kami telah banyak memberi ‘worst case scenario’ kepada Kementerian Kewangan (MOF),” katanya.
Namun katanya, pelaksanaan BUDI95 membuktikan sebaliknya apabila sistem berjalan seperti biasa, hasil kerja keras dan perancangan rapi oleh Kementerian Kewangan serta pasukan teknikal yang terlibat.
Sim turut memuji kepimpinan Perdana Menteri dan pasukan Kementerian Kewangan atas kejayaan ini.
“Tahniah kepada PMX kerana meletakkan dasar yang betul. Tahniah kepada Menteri Kewangan 2 yang bertungkus lumus melaksanakan dasar.
“Tahniah kepada KSP dan Team MOF yang melaksanakan semua ‘roll out’ yang begitu ‘efficient’.
“Saya harap rakyat yang menikmati subsidi minyak ini menggunakan dengan bertanggungjawab tanpa pembaziran kerana petrol ini adalah khazanah negara,” katanya.








