PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse menyambut baik pengumuman pelaksanaan program subsidi petrol bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95), yang akan mengekalkan harga subsidi petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter bermula 30 September 2025.
Beliau menyifatkan dasar itu sebagai langkah inklusif yang mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap semua lapisan masyarakat termasuk golongan M40 dan T20 yang sebelum ini sering terpinggir daripada skim bantuan bersasar.
“Golongan M40 dan T20 turut membayar cukai, mencipta peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Polisi subsidi secara menyeluruh ini adalah tanda penghargaan kepada usaha kolektif semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, syarat kelayakan subsidi hanya kepada individu yang mempunyai lesen memandu sah merupakan langkah tepat bagi mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan.
Mengenai kuota 300 liter sebulan yang ditetapkan, Jimmy berpandangan jumlah itu memadai untuk pengguna biasa, namun perlu dinilai semula mengikut kategori kenderaan.
“Motosikal tidak setara dengan kereta dari segi penggunaan petrol.
“Garis panduan lebih adil perlu diwujudkan, malah kuota wajar dipertingkat kepada 350 liter atau lebih sekiranya perlu,” jelasnya.
Jimmy juga menyeru rakyat agar bertenang menjelang tarikh pelaksanaan bagi mengelakkan panik membeli minyak, sambil menekankan keperluan agar sistem digital MyKad, integrasi subsidi dan pengesahan identiti berjalan lancar di bawah seliaan Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Program BUDI95 adalah refleksi semangat Madani yang menyeluruh, adil, berdata dan berteraskan kepercayaan rakyat.
“Jika dilaksanakan dengan teratur, ia mampu menjadi model subsidi pintar yang menguntungkan rakyat serta mengukuhkan kedudukan fiskal negara,” katanya.
Program BUDI95 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin sebagai pelaksanaan subsidi petrol bersasar yang tetap memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang ekonomi.