BUDI95 Pastikan Subsidi Sampai Kepada Rakyat – PM

PUTRAJAYA: Malaysia akan beralih kepada sistem subsidi bersasar petrol RON95 yang dikenali sebagai BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula 30 September ini, sebagai langkah memastikan subsidi disalurkan secara lebih tepat kepada rakyat tempatan yang layak.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan sistem baharu itu menyaksikan harga petrol RON95 dikurangkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter khusus untuk warganegara Malaysia.

“Kerajaan MADANI telah mengotakan komitmennya untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan mengurangkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia.

“Semua warganegara yang mempunyai lesen memandu aktif akan layak secara automatik menikmati manfaat ini.

“Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), pada Isnin.

Bagi bukan warganegara, katanya, harga RON95 akan ditetapkan pada kadar tanpa subsidi iaitu sekitar RM2.60 seliter.

Menurut Anwar, penjimatan hasil pelaksanaan BUDI95 akan diagihkan semula kepada rakyat melalui program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selain digunakan untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan prasarana asas negara.

Anwar berkata, setiap rakyat Malaysia layak menerima kuota subsidi sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan.

Namun katanya, bagi pemandu e-hailing, mereka diberi pengecualian daripada had tersebut dan boleh memohon tambahan kuota bagi menjamin kelangsungan pekerjaan.

“Penetapan siling kelayakan ini berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan, di mana lebih 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, bagi memudahkan pelaksanaan, kerajaan menetapkan bahawa tiada pendaftaran diperlukan.

Tambahnya, pembelian pada harga bersubsidi hanya memerlukan pengesahan MyKad, selain pilihan penggunaan aplikasi digital seperti e-dompet Touch ‘n Go, Setel dan CaltexGo.

Sistem ini akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September, diikuti penerima STR daripada golongan B40 pada 28 September, sebelum dibuka sepenuhnya kepada 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas pada 30 September.

Anwar turut menasihatkan rakyat agar memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah bagi mengelakkan sebarang masalah semasa peralihan kepada sistem BUDI95.

Anda Mungkin Berminat