Budi95: Pemandu E-Hailing Kini Layak Terima Sehingga 800 Liter Sebulan

PARLIMEN | Kerajaan terus memperkukuh sokongan terhadap golongan pemandu e-hailing dengan menaikkan had kelayakan subsidi petrol RON95 di bawah program Budi95 kepada sehingga 800 liter sebulan, tertakluk kepada syarat perjalanan yang ditetapkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah itu di Dewan Rakyat hari ini, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan penyasaran subsidi dilaksanakan secara adil dan berkesan.

“Kerajaan akan terus memantau corak penggunaan dan membuat penilaian semula dari semasa ke semasa bagi memperkukuh pelaksanaan dasar penyasaran subsidi RON95.

“Tindakan penguatkuasaan juga akan diambil atas mana-mana pihak yang menyalahgunakan subsidi RON95,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut bersetuju untuk menyenaraikan teksi lapangan terbang sebagai kenderaan yang layak menerima petrol RON95 bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), sekali gus memperluas manfaat kepada lebih ramai pemandu pengangkutan awam.

Untuk bulan Oktober, Anwar memaklumkan bahawa had kelayakan subsidi bagi pemandu e-hailing aktif telah dinaikkan daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan, sebagai langkah interim sebelum peningkatan terkini diumumkan.

“Setakat ini, seramai 58,000 pemandu e-hailing layak menerima sehingga 600 liter sebulan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat