PARLIMEN | Inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Madani terus menunjukkan impak positif apabila berjaya memberi manfaat kepada 13.3 juta rakyat Malaysia.
Daripada 16.5 juta pengguna, hampir 80 peratus kini menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, angka tersebut membuktikan keberkesanan sistem penyasaran subsidi petrol yang bukan sahaja berfungsi dengan baik, malah diterima secara meluas oleh pengguna.
“Setakat ini, dalam bulan pertama pelaksanaan BUDI95 boleh dikatakan berjalan lancar dengan sistem beroperasi dengan stabil dan secara amnya, ianya tidak mengakibatkan kerumitan atau barisan panjang menunggu oleh pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Soalan tersebut menyentuh status pelaksanaan subsidi bersasar RON95 serta langkah kerajaan untuk memastikan hanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana benar-benar menikmati manfaat tersebut.
Lim turut menjelaskan bahawa kebanyakan pengguna kini semakin selesa dengan mekanisme BUDI95, namun kerajaan tetap komited untuk menambah baik sistem tersebut secara berterusan.
“Kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan pelaksanaan sistem BUDI95,” ujarnya.
Sebagai contoh, beliau memaklumkan bahawa kerajaan telah memperluas kelayakan subsidi kepada golongan pengguna bot sungai dengan memasukkan mereka ke dalam pangkalan data penerima BUDI95.
Selain itu katanya, had kelayakan turut diperkenalkan untuk pemandu e-hailing sebagai langkah memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima manfaat subsidi.
“Penjimatan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi melalui program BUDI95 akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat menerusi inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah,” katanya.








