KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah, Dr Fauwaz Fadzil Noor, menyifatkan pengumuman kerajaan berhubung inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang menetapkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter mulai 30 September ini sebagai langkah selaras dengan tuntutan Maqasid Syariah.
Beliau berkata, usaha itu menggambarkan kesungguhan kerajaan dalam meringankan beban sara hidup rakyat tanpa mengabaikan kemampuan kewangan negara.
“Alhamdulillah, inisiatif ini bukan sekadar memenuhi tuntutan semasa, malah menepati prinsip Maqasid Syariah yang mengutamakan kemaslahatan rakyat.
“Ia menjadi bukti bagaimana keprihatinan negara disalurkan dengan seimbang antara keperluan rakyat dan kemampuan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Fauwaz berkata, beliau menzahirkan kesyukuran kerana berkesempatan menghadiri perjumpaan bulanan bersama pimpinan negara yang turut menjadi medan penting untuk menyampaikan amanat kepada para pegawai kerajaan.
Katanya, beliau berdoa agar segala urusan negara dipermudahkan dan semua pihak dapat terus bergiat aktif menyumbang ke arah pembangunan negara.
Terdahulu Fauwaz hadir dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baca juga: