Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Kerajaan MADANI berjaya mencatatkan penjimatan besar melalui pelaksanaan inisiatif Budi MADANI (BUDI95), dengan lebihan fiskal segera disalurkan semula bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya golongan B40 dan M40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dilaksanakan meskipun kerajaan mewarisi kedudukan hutang dan defisit negara yang tidak mampan, selain subsidi pukal yang membengkak serta ketirisan kepada golongan tidak layak termasuk warga asing dan sektor komersial.
“Di bawah pentadbiran MADANI, kita memilih untuk akur kepada realiti dan berani menyasarkan subsidi di setiap peringkat secara berfasa tanpa menjejaskan kebajikan rakyat terbanyak.
“Setelah kejayaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel tanpa membebankan rakyat, penyasaran subsidi petrol RON95 akhirnya dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Anwar berkata, BUDI95 menggunakan teknologi digital bagi memastikan subsidi RON95 hanya dinikmati rakyat Malaysia, sekali gus menoktahkan ketirisan yang selama ini dikaut pihak tidak layak.
“Malah, dengan BUDI95, harga RON95 untuk rakyat turun kepada RM1.99 seliter, sementara warga asing dan sektor komersial membayar harga pasaran.
“Dalam menyasarkan subsidi melalui BUDI95, keutamaan kita untuk memastikan pengalaman rakyat membeli petrol tidak terganggu,” katanya.
Bagi tahun 2026, penyasaran subsidi RON95 dijangka menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion, bergantung kepada harga minyak mentah dunia dan kadar pertukaran mata wang.
Penjimatan itu turut berpunca daripada pembanterasan sindiket penyeludupan ke negara jiran.
Perdana Menteri berkata, lebihan fiskal hasil reformasi tidak dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya diagihkan semula kepada rakyat melalui bantuan tambahan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Bermula 9 Februari lalu, seramai 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menerima RM100 setiap individu melalui MyKad di bawah inisiatif SARA Untuk Semua.
Dalam tempoh dua hari, hampir RM200 juta telah dibelanjakan oleh kira-kira dua juta rakyat, sekali gus merancakkan ekonomi peruncit tempatan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Kerajaan MADANI berpegang kepada prinsip bahawa pertumbuhan mesti dipacu oleh reformasi dan reformasi mesti berpaksikan kesejahteraan rakyat.
“Lebihan fiskal ini tetap dipulangkan kepada rakyat,” ujarnya.








