BUDI95: Subsidi Petrol Jimat RM2.5 Bilion Hingga RM4 Bilion Setahun – MOF

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI kini melangkah ke fasa baharu reformasi fiskal dengan memperkenalkan sistem subsidi petrol bersasar BUDI95, satu inisiatif yang dirangka khusus untuk memastikan manfaat subsidi RON95 sampai terus kepada rakyat Malaysia yang benar-benar layak.

Di bawah skim ini, kerajaan memperuntukkan sekitar RM11 bilion bagi menampung perbezaan harga antara kadar subsidi RM1.99 seliter dengan harga pasaran tanpa subsidi yang dianggarkan RM2.60 seliter.

Langkah ini bukan sahaja mengekalkan akses kepada bahan api mampu milik tetapi juga menutup ruang ketirisan yang selama ini dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), pemansuhan subsidi pukal dijangka menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun.

Katanya, penjimatan itu akan disalurkan semula kepada rakyat melalui bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“BUDI95 direka bagi memudahkan rakyat, bukan menyulitkan.

“Ia bertujuan melindungi kesejahteraan rakyat tanpa mengganggu kelancaran urusan harian mereka,” jelas kenyataan itu.

Sistem ini menetapkan bahawa semua warganegara berumur 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu aktif layak secara automatik menikmati subsidi sehingga 300 liter RON95 sebulan.

MOF berkata, had tersebut ditentukan berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang menunjukkan bahawa 99 peratus pemandu menggunakan kurang daripada jumlah itu.

Tambah MOF, siling kelayakan ini bukan sahaja dianggap mencukupi untuk keperluan harian, malah berfungsi sebagai benteng daripada eksploitasi oleh sindiket penyeludupan dan syarikat komersial berskala besar yang sebelum ini mengambil kesempatan daripada subsidi pukal.

Bagi memudahkan semakan dan permohonan, portal rasmi www.budimadani.gov.my akan dibuka pada 25 September bermula pukul 9 pagi.

Melalui portal ini, pemandu e-hailing turut diberi ruang untuk memohon tambahan siling subsidi, selaras dengan keperluan penggunaan mereka yang lebih tinggi.

Untuk rekod, BUDI95 adalah sebahagian daripada pelan reformasi fiskal kerajaan yang lebih menyeluruh, bertujuan menjadikan sistem subsidi negara lebih adil, telus dan berkesan dengan rakyat sebagai keutamaan.

Anda Mungkin Berminat