PARLIMEN | Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan Program Siswa Sulung bukan sahaja kepada pelajar daripada keluarga B40 sahaja, malahan untuk golongan M40 yang kurang berkemampuan.
Katanya, program yang dikhususkan untuk anak pertama daripada keluarga kurang berkemampuan dan berjaya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama di Universiti Awam (UA) telah memanfaatkan seramai 1,934 pelajar setakat ini.

“Golongan M40 yang mempunyai keluarga besar, contohnya dengan tujuh hingga lapan anak, dan memerlukan perbelanjaan tinggi untuk pendidikan, juga layak memohon program ini.
“Bagi anak sulung daripada keluarga yang tidak berkemampuan, kita menyediakan pengecualian yuran pengajian dan penginapan sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan tambahan S Kesavan (PH-Sungai Siput) sama ada kementerian bercadang memperluaskan pengecualian yuran pengajian kepada pelajar keluarga M40 yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, pelbagai inisiatif lain diperkenalkan bagi menyokong pelajar universiti daripada keluarga kurang berkemampuan, termasuk bantuan sebanyak RM1,000 untuk menampung perbelanjaan sebelum mereka memperoleh pembiayaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Setakat ini, lebih 300 mahasiswa yang menghadapi masalah kewangan di universiti menerima bantuan berkenaan bagi sesi akademik 2024/2025.
Baca juga: