Bukan Cuai, Tapi Otak ‘Autopilot’ Boleh Buat Ibu Bapa Terlupa Anak Dalam Kereta – Pakar

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Insiden ibu bapa terlupa anak di dalam kereta bukan semata-mata berpunca daripada kecuaian atau kurang kasih sayang, sebaliknya berkait rapat dengan cara otak manusia berfungsi dalam keadaan tekanan, keletihan dan rutin harian yang padat.

Penceramah Kesihatan Mental dan Pengasas Mental Kuat Centre, Amirul Ramli, menjelaskan kejadian ini berlaku apabila ‘Default Mode Network’ (DMN) dalam otak menjadi lebih dominan berbanding ‘Executive Control Network’ (ECN), iaitu bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap kesedaran, pemantauan dan membuat keputusan secara sedar.

“Apabila ECN lemah, otak masuk mod ‘autopilot’. Individu melakukan rutin secara automatik, terutama ketika melalui laluan yang biasa, sekali gus meningkatkan risiko terlupa perkara penting,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau turut menekankan bahawa kekurangan isyarat persekitaran (cue) turut menyumbang kepada insiden ini, terutama apabila anak tidur, senyap atau tidak bergerak.

“Otak manusia sangat bergantung pada bunyi dan pergerakan untuk mencetuskan ingatan.

“Tanpa isyarat, otak mungkin tidak ‘terpicu’ untuk mengingat bahawa anak masih berada di dalam kereta,” jelasnya lagi.

Selain itu, otak juga boleh mengalami ‘false memory’, di mana ia menyangka tugas telah selesai walaupun belum. Fenomena ini dikenali sebagai prospective ‘memory failure’.

“Tragedi sebegini boleh berlaku kepada mana-mana ibu bapa penyayang dan bertanggungjawab jika faktor keletihan mental dan gangguan fokus tidak ditangani dengan baik.

“Sebagai langkah pencegahan, saya menyarankan ibu bapa melakukan pemeriksaan berganda sebelum meninggalkan kereta dan mewujudkan rutin keselamatan, seperti meletakkan barangan penting di tempat duduk belakang sebagai peringatan visual,” katanya.

Pada Selasa, seorang ibu tanpa sengaja tertinggal anaknya yang berusia dua tahun di dalam kereta selama sembilan jam dalam satu kejadian di Seremban.

Kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia dan hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal atau kerosakan pada organ dalaman.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat