Bukan isu disiplin semata tapi krisis kemanusiaan dalam pendidikan – MP Aman

Oleh: Tyah Helmi

PARLIMEN | Insiden menyayat hati melibatkan pelajar Tingkatan 4 yang maut ditikam pelajar Tingkatan 2 di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pada pagi Selasa, jelas menunjukkan berlakunya krisis kesejahteraan dan mental di dalam sistem pendidikan negara.

Ahli Parlimen Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodie berkata, Kerajaan Madani perlu memanfaatkan sepenuhnya suntikan Belanjawan 2026 yang disalurkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bernilai RM66.2 bilion itu yang bukan sekadar membina bangunan namun memulihkan semula jiwa sistem pendidikan negara.

“Saya juga baru terbaca berita dimana seorang pelajar perempuan Tingkatan 4 ditikam maut oleh pelajar lelaki Tingkatan 2 disebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pagi tadi pukul 9.10 minit.

“Ini betul-betul menyedihkan, dan amat merisaukan, apa dah jadi dengan sekolah dan remaja kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Bahas Belanjawan 2026 di Sidang Parlimen, Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Selasa.

Doris menegaskan insiden tikaman pelajar itu bukan sekadar isu disiplin namun ianya menjadi barah kemanusiaan dalam sistem pendidikan negara.

“Apa yang sedang berlaku kepada remaja kita? Ini bukan hanya isu disiplin, ini krisis kemanusiaan dalam sistem pendidikan. RM66.2 bilion ini perlu digunakan untuk membina jiwa, bukan hanya dinding dan tandas,” tegas beliau.

Menurut Doris, angka-angka yang sering dibentangkan bukan sekadar statistik, tetapi mewakili wajah generasi masa depan yang kini semakin terdedah kepada trauma, keganasan dan ketidakstabilan emosi.

Beliau turut mencadangkan beberapa langkah konkrit yang wajar dipertimbangkan buat KPM bagi membendung isu-isu gejala sosial serta jenayah yang dilakukan oleh individu yang bergelar pelajar.

Antaranya ialah, kerajaan wajib memperkenalkan modul empati dan ihsan di sekolah bagi membentuk pelajar yang lebih berperikemanusiaan lantas menolak kekerasan.

Selain itu, Doris turut mencadangkan agar nisbah kaunselor kepada pelajar perlu diperbanyakkan bagi memastikan sokongan psikososial yang lebih berkesan, termasuk di sekolah luar bandar.

“Kerjasama antara KPM, KPWKM dan KDN perlu diperkukuh bagi menangani isu buli, gangguan seksual, keselamatan siber dan pemulihan trauma.

“Latihan khas untuk guru dan pentadbir sekolah dalam mengesan awal masalah emosi dan tingkah laku pelajar, serta kaunseling asas,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa membina sekolah tanpa membina jiwa pelajar adalah satu kegagalan yang akan memusnahkan masa depan negara.

“Kita boleh bina lebih banyak sekolah, gubal lebih banyak undang-undang.

“Tapi jika jiwa anak-anak dibiarkan kosong, seluruh masa depan bangsa akan musnah,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar Belanjawan 2026 dapat dikenang sebagai bajet membina jiwa sejajar dengan semangat Kerajaan Madani yang menekankan nilai insaniah dan kesejahteraan rakyat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat