PARLIMEN | Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan pelaksanaan dasar pendidikan baharu tidak akan menjadikan kanak-kanak sebagai bahan eksperimen, sebaliknya memberi tumpuan kepada kesejahteraan, kebajikan dan perkembangan murid.
Beliau berkata pendekatan itu dilaksanakan secara berfasa dan sukarela, dengan sokongan ujian diagnostik serta bantuan emosi dan psikososial, bagi memastikan setiap murid yang bersedia dapat mengikuti proses pembelajaran mengikut tahap perkembangan masing-masing.
“Anak kita bukan untuk ujian makmal ataupun tikus makmal. Setiap langkah pelaksanaan dasar dibuat dengan penuh tanggungjawab dan penyertaan semua pihak.
“Dasar ini bukan sekadar mengejar pencapaian akademik, sebaliknya memberi penekanan kepada kemahiran asas, modal insan dan kesiapsiagaan kanak-kanak sebelum memasuki peringkat pembelajaran seterusnya.
“Fokus utama adalah anak-anak kita, dan pembangunan pendidikan mesti mengikut tahap perkembangan murid, bukan semata-mata umur atau kemasukan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai keberkesanan reformasi pendidikan Baharu.
Fadhlina berkata sesi libat urus di peringkat akar umbi dan portal cadangan pendidikan masa depan telah dijalankan bagi memastikan dasar pendidikan awal dapat direalisasikan dengan baik dan bersesuaian dengan keperluan murid.
“Kerajaan akan memastikan semua kanak-kanak mendapat sokongan penuh sepanjang proses pembelajaran, bagi melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Sebab itu kita tidak tinggalkan anak-anak itu begitu sahaja. Ia mesti disokong dengan ujian diagnostik dan sokongan psikosial.
“Konteksnya bukan tergesa-gesa dan berlumba-lumba. Hanya kanak-kanak bersedia sahaja yang kita akan sambut melalui ujian diagnostik dan dinilai melalui emosi, kognitif dan kemahiran mereka.” ujarnya.
Baca juga:








