Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) menasihatkan agar menggunakan sampel air liur atau calitan hidung dan tekak bagi bagi semua kit ujian kendiri Covid-19 bagi mengenap pasti individu terbabit dijangki virus Covid-19 atau tidak.
Ketua Eksekutif MDA, Dr P Muralitharan, berkata, jika kit ujian kendiri digunakan dengan betul, perkara itu mampu membantu mengesan Covid-19 lebih awal sekali gus mengekang penularan wabak itu.
Tegasnya, sebarang sampel lain seperti air, makanan mahupun cecair lain tidak boleh digunakan memandangkan bahan tersebut bukan kaedah betul untuk mengesan Covid-19.
“Kaedah ujian yang disahkan dan mengikut panduan profesional penjagaan kesihatan serta pihak berkuasa kesihatan awam sangat penting apabila membabitkan ujian Covid-19.
“Sebarang penyebaran maklumat yang salah dengan menyalahgunakan peranti perubatan yang disengajakan semasa penularan Covid-19 tidak bertanggungjawab dan membahayakan kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau memberi reaksi demikian bagi mengulas mengenai isu tular apabila kit ujian Covid-19 yang didakwa positif selepas diuji menggunakan sampel air berkarbonat.
Dr Muralitharan berkata, kit ujian kendiri Covid-19 direka untuk mengesan kehadiran virus atau komponennya dalam sampel air liur atau calitan hidung dan tekak pernafasan.
“Ujian ini biasanya bergantung pada penanda molekul atau antigen tertentu yang dikaitkan dengan virus SARS-CoV-2. Justeru, menggunakan minuman berkarbonat sebagai sampel untuk pengujian Covid-19 bukan kaedah saintifik yang sah atau boleh dipercayai.
“Minuman berkarbonat mengandungi pelbagai sebatian dan bahan, tetapi ia tidak mengandungi komponen virus atau bahan genetik tertentu yang direka bentuk untuk dikesan oleh ujian ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, belum ada bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan air berkarbonat boleh diuji positif Covid-19.
“Ini kerana cecair selain sampel yang disebutkan dalam arahan penggunaan kit ujian kendiri, mempunyai sifat kimia yang boleh menyebabkan tindak balas kimia pada jalur ujian.
“Ini akan mengakibatkan keputusan yang tidak tepat, tidak sah serta mengelirukan,” katanya.
Baca juga: