Buktikan sokongan padu ekor Harimau Malaya lawan Vietnam 10 Jun ini

AKSI menentang Vietnam bukan sekadar perlawanan kelayakan, tetapi detik penting menyatukan semangat kebangsaan seluruh rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif pasukan, Rob Friend berkata skuad Harimau Malaya yang akan menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun ini pastinya mendebarkan.

“Kami yakin sorakan dan sokongan padu daripada penyokong di Bukit Jalil akan menjadi pencetus semangat kepada para pemain untuk mengekalkan momentum kemenangan, seperti yang ditunjukkan ketika menewaskan Nepal baru-baru ini,” katanya menerusi Facebook pada Isnin.

Malaysia kini berada dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Laos dan Nepal dengan hanya dua perlawanan penting yang masih berbaki – iaitu menentang Vietnam (10 Jun) dan aksi di tempat lawan menentang Laos (9 Oktober).

Perlawanan di Bukit Jalil dijangka menarik perhatian ribuan peminat tempatan yang mahu menyaksikan skuad kendalian Peter Klamovski meneruskan kemaraan dalam misi layak ke Piala Asia 2027.

Anda Mungkin Berminat