Oleh: Dr Anuar Ahmad
ULASAN | Bila berjalan-jalan di kedai buku sekitar Istanbul, paling ketara buku Bahasa Inggeris sangat kurang. Hampir semua buku telah diterjemah ke Bahasa Turki.
Begitulah masyarakat mereka mementingkan bahasa kebangsaan. Sama juga bila kita di Indonesia, Thailand, Jepun, France atau Korea. Industri penterjemahan buku di tempat mereka aktif sekali.
Di negara sendiri, bila masuk toko buku di KLCC, hampir semuanya dalam Bahasa Inggeris. Buku Bahasa Melayu terperuk di pinggiran rak. Seperti hampir tidak ada.
Kita adalah sebuah masyarakat yang penuh retorik dan kepura-puraan berkaitan isu Bahasa Kebangsaan.
Walaupun penuh dengan slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’ dan ada pula ‘Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 serta peruntukan perkara 152 Perlembagaan tentang kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa bahasa kebangsaan, malangnya kepentingan berbahasa Melayu masih jauh ketinggalan.

Di mata saya sebagai orang biasa, institusi Dewan Bahasa dan Pustaka seperti sudah tidak nampak apa fungsinya dalam memperkasakan Bahasa Melayu. Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) pun sama sahaja.
Sepatutnya selepas 68 tahun Malaysia merdeka, penggunaan Bahasa Kebangsaan sudah meluas dan diamalkan olah semua warga Malaysia. Malangnya, kita lihat semakin hari semakin lemah pula nampaknya penggunaan Bahasa Kebangsaan.
Jangan salahkan mereka yang lebih selesa dan mahu berbahasa selain Bahasa Melayu. Mereka tentunya melihat bahasa apa yang lebih memberikan kelebihan dan kebaikan kepada kehidupan mereka. Bahasa itulah yang mereka pilih untuk dikuasai. Bahasa itu juga mereka mahu anak-anak mereka kuasai.
Dalam sejarah, runtuhnya satu bangsa akan bermula dengan lenyapnya bahasa bangsa tersebut.
***Penulis adalah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) dan sentiasa melontarkan pandangan mengenai isu pendidikan negara








