Buku baru untuk MUDA: Amir Hadi lepas jawatan Setiausaha Agung parti

PETALING JAYA: Salah seorang pengasas bersama parti MUDA, Amir Hadi hari ini mengumumkan telah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif parti itu sejak Mac 2025 kerana urusan peribadi.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, Amir memaklumkan proses peralihan buat jawatan terbabit telah dijalankan oleh Ainie Haziqah yang juga mengambil alih tugas sebagai Setiausaha Agung MUDA yang baharu.

“Sepanjang tempoh ini, proses transisi berlaku, Ainie Haziqah telah mengambil alih tugas penuh sebagai Setiausaha Agung MUDA yang baru.

“Dengan perkembangan terbaru, selepas Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan-pertuduhan sebelum ini, saya yakin ia bakal menjadi faktor pemangkin dan permulaan baru buat parti mendepani cabaran kehadapan, bermula dengan PRN Sabah dan seterusnya PRU-16.

“Justeru sudah pasti, penyusunan semula struktur pimpinan diperlukan, dan jawatan termasuk SUA parti perlu dipikul segera,” katanya.

Walaupun tidak lagi bersama, beliau tetap kekal menjadi pendukung utama buat MUDA dan meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada barisan pimpinan untuk mengemudi parti.

“Kita akan terus bekerja rapat khususnya untuk isu-isu yang kita sepakati bersama.

“Untuk masa ini, saya akan memberikan fokus penuh dengan tugas saya selaku Pengarah Eksekutif Mandiri, dan berharap kenyataan ini menjawab kekeliruan yang timbul,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon maaf atas segala kekurangan di sepanjang tempoh menjawat jawatan itu dan merakamkan kepada barisan pimpinan serta ahli MUDA atas kerjasama mereka.

“Saya juga berharap ahli di setiap peringkat memberikan sokongan dan sokongan penuh kepada Ainie selaku Setiausaha Agung MUDA yang baru,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat