Buli Adalah Haram, Tiket Mudah Ke Neraka – Jabatan Mufti Pahang

PETALING JAYA: Jabatan Mufti Pahang menegaskan bahawa budaya membuli merupakan satu bentuk kezaliman yang diharamkan dalam Islam, dan menjadi ‘tiket mudah dan pantas’ menuju ke neraka.

Dalam satu kenyataan, hari ini, Felo Penyelidik Jabatan Mufti Pahang menjelaskan bahawa perbuatan buli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk fizikal, emosi, siber dan sosial yang semuanya memberi kesan buruk kepada mangsa.

Lebih membimbangkan, katanya, perbuatan itu turut diancam dengan azab api neraka di akhirat kelak.

Fenomena buli, menurut jabatan itu, semakin dinormalisasikan di sekolah, tempat kerja dan media sosial, sehingga menjadi musibah besar yang merosakkan masyarakat.

Jabatan itu turut mengecam sikap segelintir pihak yang membisu dan tidak bertindak membanteras kezaliman tersebut.

“Islam begitu memandang serius isu buli kerana ia tergolong sebagai perbuatan zalim,” katanya sambil merujuk kepada dalil Al-Quran dan hadis yang menegaskan bahawa Allah membenci segala bentuk kezaliman dan mengharamkannya ke atas diri-Nya sendiri serta kepada manusia.

“Wahai sekalian hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman buat Diri-Ku, dan Aku jadikannya haram terlarang sesama kalian.

“Maka janganlah kalian saling berbuat zalim antara satu sama lain.” katanya yang memetik Hadis Qudsi, Riwayat Muslim

Jabatan itu turut mengingatkan bahawa doa orang yang dizalimi tiada hijab antara mereka dengan Allah.

Ini bermakna, katanya, pembuli tidak akan terlepas daripada balasan Tuhan, walaupun mangsa adalah seorang pendosa atau bukan Muslim.

Jabatan Mufti Pahang menyifatkan kesan spiritual buli sebagai ‘pembunuhan jiwa secara perlahan’ yang meninggalkan mangsa dalam keadaan trauma dan hilang semangat hidup.

Mengulas mengenai balasan di akhirat, kenyataan itu turut memetik sabda Rasulullah SAW berkenaan golongan muflis akhirat, di mana mereka yang datang pada Hari Kiamat membawa pahala solat, puasa dan zakat, namun turut menanggung dosa kerana mencaci, memukul dan menzalimi orang lain.

Sehubungan itu, Jabatan Mufti Pahang menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pentadbir, agamawan, pempengaruh media sosial dan setiap individu muslim agar memainkan peranan aktif dalam menghapuskan budaya buli.

“Buli hanya mencekik leher pelakunya lantas diseret menuju ke neraka,” tegas kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat