KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta selepas pihak pendakwaan memaklumkan prosiding tidak dapat diteruskan berikutan kematian beliau pada 5 Disember lalu.
Memetik laporan Kosmo, pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa kes terhadap Bung Moktar terhenti secara automatik susulan pemergiannya.
Bagaimanapun, mahkamah turut dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan balunya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad bagi menggugurkan tiga pertuduhan bersubahat melakukan rasuah yang masih dihadapinya.
Hakim Rosli Ahmad kemudian menetapkan 5, 6 dan 12 Mac depan sebagai tarikh sebutan dan perbicaraan bagi kes melibatkan Zizie Izette, 48, yang kini sedang menjalani tempoh iddah selepas kehilangan suaminya di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Untuk rekod, Bung Moktar yang ketika itu menjawat jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.46 juta sebagai dorongan untuk meluluskan pelaburan Felcra sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima suapan berkenaan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, melalui Zizie Izette di sebuah cawangan bank di Taman Melawati pada Jun 2015.
Selain itu, Bung Moktar turut berdepan pertuduhan ketiga iaitu memperoleh secara rasuah wang tunai RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun dana pelaburan yang didaftarkan atas nama isterinya bagi tujuan sama.







