Bung Moktar: PBS Tiada Kredibiliti Tidak Pernah Jemput Untuk Bekerjasama

KOTA KINABALU : Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah tidak pernah mengundang Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk kembali bekerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Kenyataan tegas itu dibuat susulan dakwaan Pemangku Presiden PBS, Datuk Joachim Gunsalam yang mendakwa kononnya PBS telah menolak sebarang kerjasama dengan BN bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Saya membaca kenyataan Datuk Joachim dengan rasa terhibur. BN Sabah tidak pernah, pada bila-bila masa, menghulurkan jemputan kepada PBS untuk kembali atau bekerjasama,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Bung, tindakan PBS itu disifatkan sebagai satu episod baharu dalam ‘drama politik’ yang lebih bersifat khayalan.

“Persoalannya, apa sebenarnya yang ditolak oleh Datuk Joachim? Anda tidak boleh menolak sesuatu yang tidak pernah ditawarkan. Ini seolah-olah menolak lamaran yang tidak pernah wujud,” ujarnya.

Bung turut mengkritik perjalanan politik PBS yang disifatkannya sebagai tidak konsisten dan sering berubah haluan mengikut kepentingan.

“Dahulu PBS disanjung sebagai pembela hak-hak Sabah, namun hari ini parti itu sudah menjadi bayangan pudar dirinya sendiri.

“Ia hilang identiti akibat ketidakkonsistenan, melompat dari satu gabungan ke satu lagi, serta mengkhianati rakan apabila ada peluang,” katanya.

Tambah Bung lagi, PBS kini dilihat bergantung kepada kekuatan parti-parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kelangsungan politiknya.

“BN Sabah tidak mencari kerjasama dengan parti yang tiada haluan politik yang jelas atau kredibiliti. PBS sendiri yang memilih untuk meninggalkan BN dahulu demi kepentingan sendiri. Bab itu sudah pun ditutup,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa fokus BN Sabah kini adalah membina semula negeri ini bersama rakan kongsi politik yang berprinsip dan ikhlas.

“Kami bukan dalam urusan memulihkan pihak yang pernah mengkhianati kepercayaan kami. Pengundi hari ini celik maklumat dan bijak menilai. Cukuplah dengan sandiwara politik ini. Marilah kita bergerak ke hadapan dengan kematangan politik,” katanya.

Bung turut menasihatkan PBS agar berhenti mencipta naratif yang tidak wujud demi meraih perhatian.

“BN Sabah tidak pernah menjemput PBS kembali. Maka tiada apa-apa yang perlu ditolak,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat