PEKAN: Sungai Lengkor mencipta detik pilu apabila seorang buruh binaan warga Indonesia ditemui lemas selepas terjatuh dari bot yang dinaikinya bersama tiga rakan ketika keluar memancing udang.
Mangsa, Fahrol, 37, dilaporkan hilang selepas bot mereka melanggar sebatang kayu besar berhampiran Kampung Sungai Pinang pada Ahad sekitar pukul 1 tengah hari.
Hentakan itu menyebabkan kesemua penumpang terpelanting ke dalam sungai, namun hanya tiga rakan Fahrol berjaya naik semula ke bot.
Laporan polis diterima pada pukul 4.40 petang di Balai Polis Paloh Hinai, disusuli operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan awal pagi Isnin.
Seramai 53 anggota dari pelbagai agensi termasuk PDRM, JBPM, APM dan penduduk tempatan berganding bahu dalam usaha mencari mangsa.
Tragisnya, mayat Fahrol ditemukan penduduk kampung pada pukul 9.10 pagi Isnin, kira-kira 28 kilometer dari lokasi kejadian.
Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Pekan bagi proses bedah siasat dan pengesahan identiti.








