PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa perincian pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 dijangka diumumkan selewat-lewatnya hujung September 2025, selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu.
Menurut MOF, kerajaan kini sedang giat membangunkan serta menguji mekanisme penyasaran bagi memastikan sistem subsidi baharu ini dapat dilaksanakan secara lancar.
“Langkah ini melibatkan pemerkasaan dan penambahbaikan data yang diperoleh daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Kerajaan juga sedang meneliti pendekatan yang lebih menyeluruh agar subsidi RON95 benar-benar memanfaatkan golongan yang layak,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis di portal rasmi Dewan Rakyat pada Isnin.

Jawapan tersebut merupakan maklum balas kepada soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan (PH), yang ingin mengetahui perkembangan terkini berhubung pelaksanaan fasa front-end dan back-end penyasaran subsidi RON95 seperti diumumkan oleh Kementerian Ekonomi.
MOF turut menjelaskan bahawa apabila sistem penyasaran subsidi ini dilaksanakan kelak, penggunaan MyKad akan menjadi kunci kepada akses harga subsidi RON95, yang ditetapkan pada RM1.99 seliter untuk majoriti rakyat Malaysia.
Sementara itu, individu yang tidak layak menerima subsidi, termasuk bukan warganegara, akan perlu membayar harga pasaran penuh tanpa sebarang subsidi.
Baca juga:







