Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Orang ramai digesa untuk sentiasa memantau status penerbangan masing-masing sebelum memulakan perjalanan agar dapat mengelakkan sebarang konflik dan kesulitan.
Menerusi kenyataan media pada Rabu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata tindakan untuk sentiasa menyemak dan mendapatkan maklumat terkini berhubung penerbangan adalah susulan peningkatan penumpang dek kerana musim cuti sekolah serta krisis penerbangan global yang memberi kesan ke atas operasi syarikat penerbangan dan jadual penerbangan di beberapa rantau ketika ini.
“Pengguna dinasihatkan supaya sentiasa peka dan memantau maklumat terkini yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan masing-masing sebelum melakukan perjalanan,” katanya.
Menurut CAAM, peningkatan jumlah penumpang di lapangan terbang seluruh negara dijangka berlaku dalam tempoh tersebut, sekali gus memerlukan pengguna membuat persediaan lebih awal.
“Pengguna disaran menyemak status penerbangan secara berkala dengan syarikat penerbangan atau pengendali lapangan terbang, hadir lebih awal ke lapangan terbang bagi menghadapi kemungkinan pelarasan operasi serta kesesakan, selain memastikan maklumat perhubungan semasa tempahan sentiasa dikemas kini dan boleh dihubungi,” ujarnya.
Ujarnya lagi, penumpang dikehendaki untuk menyimpan semua dokumen perjalanan dan tempahan sebagai rujukan sekiranya berlaku sebarang isu berhubung penerbangan.
Dalam pada itu, penumpang turut diingatkan mengenai hak mereka di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) sekiranya berlaku kelewatan penerbangan, pembatalan, penafian menaiki pesawat, perubahan jadual penerbangan atau masalah berkaitan bagasi.
Menyentuh mengenai kelewatan penerbangan yang ditangguh selama lima jam atau lebih, penumpang boleh memilih untuk meneruskan perjalanan dengan bantuan sewajarnya disediakan syarikat penerbangan termasuk penginapan dan pengangkutan jika perlu, atau memilih bayaran balik penuh.
“Bagi pembatalan penerbangan, penafian menaiki pesawat, perubahan jadual penerbangan melebihi tiga jam serta pemberhentian laluan penerbangan, pengguna mungkin layak memilih sama ada penerbangan alternatif atau bayaran balik penuh tertakluk kepada peruntukan dibawah MACPC,” katanya.
Jelas CAAM, sebarang tindakan pembatalan penerbangan secara sukarela oleh pengguna, bayaran balik Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC), cukai, fi, surcaj bahan api dan caj kawal selia boleh dituntut tertakluk kepada syarat tiket yang ditetapkan.
Dalam perkembangan sama, pengguna yang berdepan masalah bagasi lewat diterima, rosak atau hilang diminta segera melaporkan perkara itu kepada syarikat penerbangan melalui laporan Property Irregularity Report (PIR) di lapangan terbang serta menyimpan semua dokumen sokongan bagi tujuan tuntutan dan pengesahan.
CAAM turut menggalakkan pengguna mendapatkan maklumat sahih hanya melalui saluran rasmi syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang dan pihak berkuasa berkaitan.
Sebarang aduan yang tidak dapat diselesaikan dengan syarikat penerbangan atau pengendali lapangan terbang boleh dikemukakan melalui platform FlySmart.
Maklumat lanjut mengenai hak pengguna penerbangan dan prosedur aduan boleh diperoleh menerusi FlySmart Malaysia.
Baca juga:








