Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan beberapa kriteria utama dalam projek pemulihan perumahan swasta terbengkalai yang layak untuk menerima Dana Jaminan Khas seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, KPKT melalui pasukan bertugas (Task Force) Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) telah mencadangkan antara kriteria utama termasuk projek pembinaan perumahan mampu milik (harga RM300,000 kebawah).
“Selain itu, projek perumahan tersebut perlu berada di bawah Kerajaan Persekutuan atau Negeri di samping peratus kemajuan projek tersebut mestilah 80 peratus keatas dan projek tersebut juga harus masih dimajukan oleh pemaju asal.
“Namun, kriteria bagi Dana Jaminan Khas ini masih lagi dibawah penelitian KPKT bersama Kementerian Kewangan,” ujarnya dalam jawapan bertulis menjawab pertanyaan Zahir Hassan mengenai kriteria penyaluran Dana Jaminan Khas.
Dalam pada itu, KPKT dan TSFT turut mencadangkan perluasan skop dana tersebut kepada projek perumahan yang berada dalam kategori ‘sakit’ atas beberapa faktor.
“Antara faktornya termasuk tempoh pelaksanaan yang hanya akan memakan masa satu hingga dua tahun berbanding lima tahun bagi projek yang terbengkalai.
“Projek perumahan swasta ‘sakit’ juga masih mempunyai pemaju asal yang bertanggungjawab dalam menyiapkan projek kerana kerja-kerja pembinaan masih berjalan dan pemaju tidak dikenakan tindakan undang-undang,” tambahnya.
Terdahulu, Kementerian Kewangan telah mengumumkan peruntukan Dana Jaminan Khas sebanyak RM1 bilion untuk menggalakkan pemaju memulihkan projek perumahan swasta yang terbengkalai pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu.
Baca juga: