KUALA LUMPUR: Majoriti orang ramai mencadangkan kerajaan menimbang untuk menganugerahkan pingat kebangsaan daripada Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong kepada sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini.
Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar, pengiktirafan itu wajar diberi atas keberanian dan pengorbanan mereka yang sanggup menggadai nyawa demi membantu rakyat Palestin di Gaza.
Katanya, walaupun para sukarelawan tidak mencari nama atau ganjaran, jasa mereka layak dihargai kerana berdepan tentera Israel tanpa senjata dan tanpa jaminan keselamatan.
“Keberanian mereka lahir daripada hati nurani yang menolak kezaliman,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Beliau berkata, pengiktirafan rasmi negara penting kerana ia mengharumkan nama Malaysia, menunjukkan solidariti bersama Palestin dan mendidik generasi muda mengenai semangat kemanusiaan sejagat.
“Anugerah ini bukan sekadar simbol, tetapi pesanan bahawa Malaysia menghargai pengorbanan demi kemanusiaan,” katanya.
Mahfuz turut yakin Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong serta kerajaan akan meneliti cadangan itu sebagai tanda kasih dan penghormatan kepada wira kemanusiaan negara.
“Mereka bukan wira bersenjata, tetapi wira hati nurani bangsa,” katanya.
Baca juga: