Cadangan Bangunan 60 Tingkat Belum Muktamad, Tertakluk Kajian Dan Libat Urus – DBKL

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan bahawa sebarang keputusan berhubung cadangan pembinaan bangunan setinggi 60 tingkat di Bukit Damansara hanya akan dibuat selepas kajian teknikal menyeluruh dan sesi libat urus bersama pemegang taruh dilaksanakan.

Dalam satu kenyataan, DBKL menjelaskan bahawa permohonan berkenaan masih dalam proses penilaian dan belum mencapai keputusan muktamad.

“DBKL ingin menegaskan bahawa setiap keputusan berkaitan pembangunan bandar sentiasa berpaksikan kepada dasar sedia ada dan pelan pembangunan yang diwartakan.

“DBKL juga komited memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan di Kuala Lumpur dilakukan secara teratur, mampan serta tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.

Penjelasan ini hadir susulan kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang menyeru DBKL agar meneliti kesan sampingan terhadap penduduk sebelum meluluskan sebarang projek pembangunan berskala besar.

Menurut DBKL, permohonan yang diterima melibatkan cadangan pelan susun atur bagi pembangunan perdagangan di atas tiga lot tanah seluas 7.98 ekar.

Permohonan itu tertakluk kepada Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang telah diwartakan pada 28 Mei lalu.

DBKL menjelaskan bahawa pelan tersebut menetapkan kriteria pembangunan yang boleh dipertimbangkan, namun ia mesti mematuhi syarat teknikal perancangan serta pelawaan pandangan awam mengikut Kaedah 3, iaitu pemberitahuan untuk mendapatkan maklum balas masyarakat.

“Cadangan sesuatu pemajuan juga masih lagi tertakluk kepada pematuhano syarat-syarat teknikal seperti Penilaian Impak Trafik (TIA), Geoteknik, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan lain-lain aspek teknikal yang berkaitan.

“Selain itu, pematuhan terhadap ulasan dan syarat yang dikemukakan oleh agensi teknikal lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan agensi berkaitan lain juga perlu dipatuhi,” katanya.

Anda Mungkin Berminat