PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI meneliti cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti kepimpinan, serta memastikan kestabilan institusi negara.
Kajian ini dilaksanakan selaras dengan Agenda Reformasi Institusi Kerajaan MADANI, khususnya dalam memperkasa sistem semak dan imbang serta memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi eksekutif negara.
Cadangan yang dikaji merangkumi pertimbangan penetapan had maksimum jawatan Perdana Menteri, sama ada berdasarkan bilangan penggal atau tempoh tahun perkhidmatan tertentu.

Antara aspek penting yang diberi perhatian termasuk kaedah pengiraan tempoh perkhidmatan, implikasi terhadap kesinambungan pentadbiran negara, serta pemeliharaan peranan dan kuasa Institusi Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sehubungan itu, Kajian Pendapat Awam akan dilaksanakan mulai 21 hingga 28 Januari 2026 bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Ahli Parlimen, penjawat awam, pertubuhan masyarakat sivil, pakar perundangan, serta orang awam.
“Maklum balas yang diterima akan dijadikan input penting dalam proses pertimbangan dasar Kerajaan bagi memastikan sebarang keputusan yang diambil adalah seimbang, berasaskan bukti, serta mematuhi kerangka Perlembagaan Persekutuan,” maklum kenyataan tersebut pada Rabu.
Kerajaan turut menegaskan bahawa pelaksanaan kajian pendapat awam ini tidak bermakna sebarang keputusan telah dimuktamadkan, sebaliknya mencerminkan komitmen Kerajaan untuk mengamalkan pendekatan inklusif, telus dan berunding dalam proses penggubalan dasar negara.
Baca juga:








