SEOUL: Cadangan seorang gabenor wilayah di Korea Selatan untuk ‘mengimport anak dara’ dari Sri Lanka dan Vietnam bagi meningkatkan kadar kelahiran serta menangani penyusutan populasi luar bandar mencetuskan kemarahan dan kecaman meluas.
Gabenor Daerah Jindo, Kim Hee-soo mengemukakan cadangan itu ketika sesi dialog awam di Wilayah Jeolla Selatan bagi membincangkan penggabungan pentadbiran beberapa bandar dan daerah dengan Bandar Metropolitan Gwangju.
Beliau berkata, daripada 89 kawasan di seluruh negara yang berdepan risiko penyusutan populasi, kira-kira 20 peratus terletak di Wilayah Jeolla Selatan.
“Kita perlu menyelesaikan krisis kepupusan ini,” katanya seperti dilaporkan akhbar This Week In Asia.
Menurut Hee-soo, penggabungan pentadbiran tidak seharusnya tertumpu kepada pembangunan industri semata-mata, sebaliknya perlu menangani isu penurunan populasi yang semakin kritikal.
Beliau kemudian mencadangkan langkah khas termasuk membawa masuk wanita dari Sri Lanka dan Vietnam untuk dikahwinkan dengan lelaki bujang di kawasan luar bandar.
Kenyataan itu mencetuskan bantahan lebih 100 hadirin yang hadir, selain kritikan meluas selepas sesi berkenaan disiarkan secara langsung.
Datuk Bandar Gwangju, Kang Ki-jung menyifatkan pendekatan berkenaan sebagai tidak tepat serta tidak sensitif terhadap hak asasi manusia, kepelbagaian budaya dan isu jantina.
Beberapa peserta dialog turut mengkritik penggunaan istilah ‘import’ serta penamaan negara tertentu yang disifatkan merendahkan maruah warga asing.
Korea Selatan kini berdepan kadar kelahiran terendah di dunia dengan hanya 0.75 kelahiran bagi setiap wanita pada 2024, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap masa depan populasi negara itu.
Pakar menganggarkan jumlah penduduk negara itu yang kini sekitar 50 juta orang berpotensi menyusut separuh dalam tempoh 60 tahun, diburukkan lagi dengan penghijrahan golongan muda ke bandar besar seperti Seoul.
Baca juga:








