Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal penuh disifatkan sebagai satu perubahan besar yang mampu menjadi pencetus reformasi menyeluruh dalam sistem pentadbiran negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam mesyuarat khas Kabinet pada Isnin telah mendapat persetujuan sebulat suara daripada seluruh Jemaah Menteri.
Menurut beliau, langkah itu akan diterjemahkan melalui peruntukan perundangan apabila Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada sidang Parlimen kali ini.
“Cadangan ini dipersetujui oleh semua ahli Jemaah Menteri. Dari sudut perundangan, ia akan dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan dan diluluskan.
“Ini merupakan satu ‘game changer’ kerana kita tidak mahu seseorang Perdana Menteri memegang jawatan terlalu lama sehingga berlaku situasi ‘overstay’ yang boleh membawa kepada keletihan pentadbiran atau kesan saturasi.
“Walau sebaik mana sekali pun kepimpinan, jika terlalu lama, ia boleh memberi implikasi negatif. Justeru, cadangan ini adalah langkah yang baik dan disarankan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di Putrajaya pada Selasa.
Semalam, Anwar mengumumkan kerajaan akan membentangkan RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh dalam sidang Parlimen bulan ini.
Menurut Perdana Menteri, prinsip had tempoh jawatan wajar diterapkan secara menyeluruh selari dengan amalan sedia ada dalam perkhidmatan awam.
“Semua orang ada had tempoh. Ketua Setiausaha Negara (KSN) juga tidak boleh berkhidmat sehingga sepuluh tahun.
“Jika seseorang diberikan tempoh tertentu dan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik, selepas itu wajar diserahkan kepada generasi seterusnya,” ujarnya.
Beliau menegaskan, prinsip sama turut terpakai kepada jawatan Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri selaras dengan komitmen kerajaan terhadap reformasi institusi.
Cadangan tersebut merupakan antara agenda utama reformasi institusi Kerajaan MADANI yang digariskan sebagai hala tuju negara bagi tahun 2026.
Selain itu, kerajaan turut merancang untuk membentangkan beberapa RUU lain pada tahun ini, termasuk berkaitan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, RUU Ombudsman bagi memperkukuh akauntabiliti awam serta Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (FOI).
Baca juga:








