KUALA LUMPUR: Cadangan agar kerajaan menangguhkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang susulan tragedi kemalangan di Jalan Gerik–Jeli, Perak dianggap mengelirukan dan cetek, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Beliau berkata kenyataan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan itu jelas dua isu berbeza dari segi lokasi, kementerian bertanggungjawab dan jenis peruntukan.
“Projek LRT Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Rancangan Induk Pengangkutan yang telah lama dirancang untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan padat.
“Sementara itu, kemalangan yang melibatkan pelajar UPSI berlaku di Jalan Gerik–Jeli yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya dan JKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Lee, tindakan menggunakan tragedi UPSI untuk menolak projek pembangunan lain adalah tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif terhadap mangsa serta keluarga mereka.

“Jalan Gerik–Jeli memang perlu dinaik taraf. Tapi penyelesaiannya bukan dengan mencantas projek pembangunan lain. Sebaliknya, peruntukan khas perlu disalurkan kepada Kementerian Kerja Raya dan tindakan segera perlu diambil oleh JKR negeri serta daerah,” jelas Lee.
Tambahnya, rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat berasaskan fakta dan bukan naratif politik yang mengelirukan.
Mengakhiri kenyataan, Lee menegaskan bahawa isu keselamatan jalan raya dan pembangunan sistem pengangkutan awam tidak harus dianggap sebagai pilihan salah satu.
“Kedua-duanya penting dan mesti dilaksanakan serentak, bukan dijadikan alat serangan politik atas tragedi yang menyentuh hati rakyat,” katanya.
Baca juga: